Click here to get more Islamic Greetings from MasterGreetings.com
Click here to get more Flower Greetings from MasterGreetings.com

Khamis, 21 April 2011

PEDOMAN: MAKANAN HALAL BERI KESAN ROHANI DAN JASMANI

Sabda Rasulullah SAW: "Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap umat Islam." (Riwayat Ibnu Abdil-Barr).  Umat Islam bukan sahaja perlu mencari rezeki daripada sumber dan pekerjaan yang dibenarkan dalam Islam, malah kita perlu mengambil berat makanan dan minuman yang diambil itu tidak jatuh di dalam hukum haram.

Ini kerana ALLAH SWT menghalalkan sesuatu kerana ia baik untuk manusia dan sebaliknya diharamkan sesuatu kerana ia memudaratkan manusia. Halal sesuatu makanan dan minuman itu bergantung kepada sumber dan bahan mentah yang digunakannya.

Makanan dan minuman yang halal bukan sekadar menjaga kesihatan fizikal dan jasmani, sebaliknya paling penting dapat menjaga rohani dan jasmani.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada seorang yang kusut masai, berdebu dan sentiasa dalam musafir. Namun keadaan makanannya haram, pakaiannya haram. Lalu dia mengangkat tangannya sambil berdoa: "Ya Tuhanku, ya Tuhanku". Maka bagaimana orang yang sedemikian itu akan dapat dimakbulkan doanya." (Riwayat Muslim).

Jelas menerusi hadis ini, makanan yang berpunca daripada sumber yang haram turut memberi kesan kepada 'kedudukannya' di sisi Allah SWT.

Ia menjauhkan seseorang itu daripada keredaan ALLAH SWT dan menjadi tanda bahawasanya dijauhkan mereka (pemakan harta haram) daripada rahmat dan nikmat ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman: "Dan siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu para Nabi, Siddiqin dan para Syuhada serta para Solihin. Dan amat eloklah mereka  itu menjadi teman rakan (kepada yang taat)." (Surah An-Nisaa, ayat 69).

Oleh itu, setiap makanan, minuman atau produk hendaklah dipastikan bukan daripada sumber yang haram seperti penipuan, rasuah, mencuri dan lain-lain.

Firman ALLAH SWT: "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu." (Surah Al-Baqarah, ayat:168).

Islam adalah agama yang sangat menjaga keselamatan, kesihatan dan kehidupan umatnya melalui penjagaan makanan, minuman dan produk halal.

Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik, sihat jasmani dan rohani serta mendapat keberkatan dalam hidup.

Sumber: Harian Metro (Jumaat)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...